Kalau ditanya semua orang tentang masakan paling sedap di dunia, pasti semua memilih masakan Ibu.
Kenapa ya? Kerana kita semua membesar dengan hidangan yang disediakannya maka kita semua sudah terbiasa dengan masakannya lalu memujanya? Tidak mungkin...kerana saya tidak pernah merasakan hidangan nasi kawah di asrama dulu selama hampir 10 tahun merupakan hidangan yang dirindukan.
Masakan yang disediakan oleh Makcik Juling (panggilan yang diberikan kami kepada tukang masak asrama) tidak pernah menambat selera saya. Tapi saya pasti anak-anak Makcik Juling(minta maaf Makcik) pasti anak-anak Makcik Juling adalah yang paling enak. Ermm...mungkin Tuhan telah mengurniakan anugerah yang terhebat terhadap semua insan bergelar ibu di dunia ini. Kebolehan yang mengikat kasih sayang semua anak. Air tangan ibu cukup istimewa. Kebolehan yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh anak-anak.
Malam ini juga fikiran saya tiba-tiba mula teringat kisah-kisah lama. Seperti bayangan filem hitam putih bermain di memori yang sudah semakin berkarat. Teringat zaman semasa masih bersekolah.
Ladang sawit yang banyak berjasa
Ketika zaman sekolah menengah (80an), saya melalui zaman-zaman yang agak perit. Ketika itu komoditi kelapa sawit tidak begitu memberangsangkan. Kadang-kadang ketika abah menerima Pay-Sheet (saya selalu mendengar orang Kampung saya memanggilnya Peset), pernah abah cuma membawa baki gaji RM1.00 sahaja!! Itu setelah ditolak hutang Kedai Felda (kami memanggilnya Kantin Felda). Mujur ada kantin Felda yang setiap bulan Peneroka boleh mengambil barang keperluan harian secara Kredit dan akan ditolak dengan gaji bulanan kemudiannya. Tapi bukan sekali abah pernah menunjukkan peset yang menunjukkan baki negatif!!
(Ini lokasi kejadian Pejabat Pos Bergerak menunggu saya ...dulu ada pokok kelapa sebatang di tengah-tengahnya)
Selalunya jika menerima wang pos, saya turut teruja kerana selalunya ianya disertakan dengan bungkusan yang tentunya dari emak saya. Sambal ikan bilis dan tempe yang digoreng kering (untuk menambah jangka hayatnya) dan Kerepek pisang (pisang nangka) yang emak buatkan sendiri sentiasa menjadi barangan wajib. Hari Sabtu pejabat pos bergerak yang selalunya berkampung di tengah-tengah padangan perhimpunan yang ditengah-tengahnya ada sebatang pokok kelapa tua (ada sebab mengapa pokok kelapa itu sebatang itu berada ditengah-tengah padang perhimpunan yang bertar kasar itu tidak ditebang....ada berkaitan dengan mistik yang mungkin akan diceritakan nanti) sentiasa ditunggu untuk menunaikan wang pos.
Malam ini entah mengapa, imbauan kisah silam kembali bermain-main difikiran. Tertanya-tanya dalam kesulitan hidup sekitar tahun 80an abah dan emak berjaya menyekolahkan saya hingga peringkat tertinggi. Sepanjang bersekolah di Raub, abah dan emak hanya dapat melawat saya kurang dari 5 kali dalam 5 tahun. Bukan kerana mereka tidak ambil berat tapi lebih kerana soal kemampuan material.
Setelah sudah bekerja, saya baru dapat mengetahui bagaimana abah dan emak dapat menyara semua anak-anaknya dalam menyekolahkan mereka. Abah dan emak tidak pernah sekalipun menunjukkan rasa susah hati yang berlebihan jika kami adik beradik meminta perbelanjaan berkaitan persekolahan. Tidak pernah sekali pun abah dan emak menghampakan kami.
Bagaimana abah dan emak begitu hebat dalam memenuhi permintaan kehidupan? Rahsianya, emak tidak pernah memiliki barangan kemas di tangan. Dimana tempatnya barang kemas emak? Barang Kemas emak sering keluar masuk kedai pajak gadai!!
Itu betul-betul membuatkan saya hiba. Mungkin kerana sudah lama tidak memakai barangan kemas akibat PENGORBANAN terhadap anak-anak, sehingga sekarang emak tidak suka memakai barangan kemas lagi walau dihadiahkan anak-anaknya. Begitulah antara satu dari berjuta pengorbanan insan bergelar Ibu. Jika ditulis tentang pengorbanan emak...mungkin sampai bila pun tidakkan berakhir. Cukuplah satu pengorbanan untuk ditulis, seakan tidak mampu untuk dihabiskan ayatnya. Terfikir dalam diri, adakah saya sanggup mengorbankan semua yang disayangi untuk membuat membuat pengorbanan yang sama terhadap ibu??
Bagi saya, hari Ibu bukan hanya sehari untuk dirai, bahkan setiap saat adalah hari yang patut dihargai oleh semua insan bernama anak. Sayangilah mereka ketika masih ada waktu.
No comments:
Post a Comment