Sunday, May 13, 2007

Cerita Tentang Bruno dan Premier League


Malam ini saya menyaksikan Charlton, Sheffield United dan Watford turun ke Divisyen Satu. Banyak air mata yang tumpah. Tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda. Satu suasana yang mengharukan. Satu perasaan yang berbaur dengan pelbagai emosi. Gembira kerana West Ham terselamat (saya sukakan karakter yang ditunjukkan Tevez). Pejuang sejati!!

Dalam pada itu, ada kesedihan, bukan kerana 3 pasukan tadi turun ke Divisyen 1. Bukan kerana melihat air mata penyokong mereka. Tetapi sedih, bila terlintas tentang kita semua. Tentang tanah air kita. Tentang patriotisme antara kita.

Adakah kita akan menangis seperti penyokong kelab Watford atau Sheffield, jika pasukan kebangsaaan kita kalah pada pelawanan akhir di mana-mana pertandingan? Atau pasukan negeri kita kecundang dan terjerumus ke Divisyen satu? Atau menangis kerana maruah negara tergadai? Atau menangis dikala Proton terjual kepada orang luar? Saya fikir majoriti kita tidak akan menangis!!

Sekitar tahun 90an ketika saya bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan awam. Ketika itu saya kenal seorang jurutera berbangsa Itali yang dikenali sebagai Bruno (berkepala botak ala-ala Steve McMahon) yang ditugaskan untuk mengawasi operasi bas-bas yang dibekalkan oleh syarikatnya. Dipendekkan cerita pada satu pagi,saya terdengar bahawa Bruno mengamuk seperti orang gila (saya selalu dengar Bruno marah tapi bukan mengamuk). Setelah saya tanya-tanyakan orang sekeliling saya (seperti wartawan mencari gosip) barulah saya mendapat tahu sebab-sebab kenapa Bruno yang memandu Fiat Punto kuning itu mengamuk. Sebabnya adalah kerana Bas buatan negaranya itu rosak dan lori yang yang menunda bas buatan negaranya itu adalah dari negara JERMAN. Itu sebabnya!! Bruno mengatakan bahawa lori Mercedes Biru itu tidak layak untuk menarik bas buatan negaranya. Bayangkan jika anda bercerita sesuatu yang buruk tentang kereta Fiat (ketika itu Fiat Puntonya memang selalu berhadapan masalah mekanikal) atau apa-apa saja yang ada kena mengena dengan negaranya. Saya tidak akan terkejut kalau anda terbunuh! Sukar untuk memahami sentimen orang seperti Bruno kerana banyak yang kita telah kehilangan.

Adakah kita akan bersikap seperti Bruno? Adakah kita akan menangis bersungguh-sungguh seperti penyokong Sheffield? Adakah kita akan marah jika Proton dikutuk dan diremehkan? Atau membiarkan orang mencemuh negara kita dan dalam masa yang sama kita semua berlumba untuk melanggar lampu merah serta sentiasa memotong barisan di kaunter atau jalan raya demi menunjukkan ”budi bahasa” dan ”ketamadunan” kita kepada orang luar.

Lagu untuk Ibu

Ibu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyinari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu


(Allahyarham Tan Sri P.Ramlee)

Saturday, May 12, 2007

Selamat Hari Ibu

Malam ini tiba-tiba saya teringatkan Emak di kampung. Rindu masakan Emak. Rindu ikan Patin masak lemak cili padi yang Emak masak. Rindu semua masakannya. Emak memang arif tentang selera semua anak-anaknya Kalau sekali-sekala saya pulang ke Kampung pasti emak akan masakkan Ikan Patin masak lemak atau Labu Masak Lemak atau pulut ditanak beralas daun pisang bersama ikan bilis goreng atau ikan masin.
Kalau ditanya semua orang tentang masakan paling sedap di dunia, pasti semua memilih masakan Ibu.
Kenapa ya? Kerana kita semua membesar dengan hidangan yang disediakannya maka kita semua sudah terbiasa dengan masakannya lalu memujanya? Tidak mungkin...kerana saya tidak pernah merasakan hidangan nasi kawah di asrama dulu selama hampir 10 tahun merupakan hidangan yang dirindukan.
Masakan yang disediakan oleh Makcik Juling (panggilan yang diberikan kami kepada tukang masak asrama) tidak pernah menambat selera saya. Tapi saya pasti anak-anak Makcik Juling(minta maaf Makcik) pasti anak-anak Makcik Juling adalah yang paling enak. Ermm...mungkin Tuhan telah mengurniakan anugerah yang terhebat terhadap semua insan bergelar ibu di dunia ini. Kebolehan yang mengikat kasih sayang semua anak. Air tangan ibu cukup istimewa. Kebolehan yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh anak-anak.
Malam ini juga fikiran saya tiba-tiba mula teringat kisah-kisah lama. Seperti bayangan filem hitam putih bermain di memori yang sudah semakin berkarat. Teringat zaman semasa masih bersekolah.




















Ladang sawit yang banyak berjasa

Ketika zaman sekolah menengah (80an), saya melalui zaman-zaman yang agak perit. Ketika itu komoditi kelapa sawit tidak begitu memberangsangkan. Kadang-kadang ketika abah menerima Pay-Sheet (saya selalu mendengar orang Kampung saya memanggilnya Peset), pernah abah cuma membawa baki gaji RM1.00 sahaja!! Itu setelah ditolak hutang Kedai Felda (kami memanggilnya Kantin Felda). Mujur ada kantin Felda yang setiap bulan Peneroka boleh mengambil barang keperluan harian secara Kredit dan akan ditolak dengan gaji bulanan kemudiannya. Tapi bukan sekali abah pernah menunjukkan peset yang menunjukkan baki negatif!!
Ketika itu saya masih bersekolah asrama penuh di Raub. Abah akan hantarkan Wang Pos setiap bulan menggunakan Surat Berdaftar untuk belanja bulanan. Setiap kali menerima surat berdaftar memang hari yang menggembirakan saya. Saya selalunya mendapat wang pos RM15 atau RM30 sebulan. Tapi kalau saya mendapat wang pos RM50 itu bermakna abah mendapat gaji lebih sedikit (saya hanya mendapat RM50 kurang dari 10 kali dalam 5 tahun).








(Ini lokasi kejadian Pejabat Pos Bergerak menunggu saya ...dulu ada pokok kelapa sebatang di tengah-tengahnya)

Selalunya jika menerima wang pos, saya turut teruja kerana selalunya ianya disertakan dengan bungkusan yang tentunya dari emak saya. Sambal ikan bilis dan tempe yang digoreng kering (untuk menambah jangka hayatnya) dan Kerepek pisang (pisang nangka) yang emak buatkan sendiri sentiasa menjadi barangan wajib. Hari Sabtu pejabat pos bergerak yang selalunya berkampung di tengah-tengah padangan perhimpunan yang ditengah-tengahnya ada sebatang pokok kelapa tua (ada sebab mengapa pokok kelapa itu sebatang itu berada ditengah-tengah padang perhimpunan yang bertar kasar itu tidak ditebang....ada berkaitan dengan mistik yang mungkin akan diceritakan nanti) sentiasa ditunggu untuk menunaikan wang pos.

Malam ini entah mengapa, imbauan kisah silam kembali bermain-main difikiran. Tertanya-tanya dalam kesulitan hidup sekitar tahun 80an abah dan emak berjaya menyekolahkan saya hingga peringkat tertinggi. Sepanjang bersekolah di Raub, abah dan emak hanya dapat melawat saya kurang dari 5 kali dalam 5 tahun. Bukan kerana mereka tidak ambil berat tapi lebih kerana soal kemampuan material.

Setelah sudah bekerja, saya baru dapat mengetahui bagaimana abah dan emak dapat menyara semua anak-anaknya dalam menyekolahkan mereka. Abah dan emak tidak pernah sekalipun menunjukkan rasa susah hati yang berlebihan jika kami adik beradik meminta perbelanjaan berkaitan persekolahan. Tidak pernah sekali pun abah dan emak menghampakan kami.

Bagaimana abah dan emak begitu hebat dalam memenuhi permintaan kehidupan? Rahsianya, emak tidak pernah memiliki barangan kemas di tangan. Dimana tempatnya barang kemas emak? Barang Kemas emak sering keluar masuk kedai pajak gadai!!

Itu betul-betul membuatkan saya hiba. Mungkin kerana sudah lama tidak memakai barangan kemas akibat PENGORBANAN terhadap anak-anak, sehingga sekarang emak tidak suka memakai barangan kemas lagi walau dihadiahkan anak-anaknya. Begitulah antara satu dari berjuta pengorbanan insan bergelar Ibu. Jika ditulis tentang pengorbanan emak...mungkin sampai bila pun tidakkan berakhir. Cukuplah satu pengorbanan untuk ditulis, seakan tidak mampu untuk dihabiskan ayatnya. Terfikir dalam diri, adakah saya sanggup mengorbankan semua yang disayangi untuk membuat membuat pengorbanan yang sama terhadap ibu??

Bagi saya, hari Ibu bukan hanya sehari untuk dirai, bahkan setiap saat adalah hari yang patut dihargai oleh semua insan bernama anak. Sayangilah mereka ketika masih ada waktu.